Thursday 26 May 2016

HAJI ABDUL HAMID BIN DESA

LATAR BELAKANG KELUARGA
Haji Abdul Hamid bin Desa dilahirkan di Batu 3 Tandop, Mukim Pengkalan Kundur, Kedah pada 7 Januari 1920. Bapanya ialah Desa bin Mohammad Salleh dan ibunya Esah binti Yunus merupakan anak jati Kampung Tandop.  Datuknya Mohammad Salleh bin Lebai Tahir terkenal dengan suara yang lemak merdu dalam mengalunkan bacaan al-Quran, berzanji, berdikir, berendoi dan sebagainya.
Haji Abdul Hamid dibesarkan dalam keluarga yang serba kekurangan, sementelahan zaman itu negara masih dijajah. Beliau merupakan anak sulung daripada lima orang adik beradik. Oleh sebab beliau anak lelaki tunggal, beliaulah yang banyak membantu ibu dan bapanya menyara hidup sekeluarga.
PENDIDIKAN
  • 1926 : Sekolah Melayu Tandop.
  • 1930 : Pondok Haji Abdul Ghani
  • 1931 : Madrasah Hamidiah (Madrasah Pak Wan Sulaiman), Limbung Kapal, Alor Setar
PERKAHWINAN
Pada tahun 1935 ketika usianya 15 tahun, beliau telah dijodohkan dengan Asiah binti Abdullah yang ketika itu berusia 14 tahun. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan lapan orang cahaya mata, tetapi dua daripadanya meninggal dunia semasa kecil, manakala enam orang yang tinggal iala lima lelaki dan seorang perempuan. Anak-anak beliau berjaya dalam lapangan masing-masing, empat daripadanya lulusan universiti.
KERJAYA
  • 1955 : Guru agama di Sekolah Melayu Tandop
  • 1960 : Dilantik menjadi guru agama sepenuh masa di Sekolah Rendah Simpang Empat
  • 1970 : Diserap guru tetap Kementerian Pelajaran Malaysia
  • 1955 - 1970 : Dilantik menjadi guru khas al-Quran dan tajwid di bawah kelolaan Majlis Agama Islam Negeri Kedah.
TILAWAH AL-QURAN
Haji Abdul Hamid mula belajar membaca al-Quran sejak kecil. Guru terawalnya ialah Haji Wan Dan.  Semasa belajar di Madrasah Hamidiah beliau berguru dengan Syeikh Ibrahim al-Ibyari. Bermula daripada pengajian dengan Syeikh Ibrahim inilah beliau mendapat banyak tunjuk ajar dan panduan dalam tilawah al-Quran secara lebih mendalam. Bakat dan kebolehan beliau itu sentiasa dipupuk sehingga membawa beliau menyertai majlis tilawah al-Quran yang diadakan.
Pada sekitar tahun 1940-an sinar bintangnya terus memancarapabila beliau banyak mengambil bahagian dalam majlis tilawah -al-Quran. Selain menyertai musabaqah membaca al-Quran peringkat negero Kedah, Haji Abdul Hamid juga telah memasuki pertandingan membaca al-Quran antara Johor dan Kedah yang dianjurkan oleh UMNO pada tahun 1959 di Johor Bahru. Istimewanya qari berasal dari Negeri Jelapang Padi ini ialah beliau memperoleh gelaran johan qari pertandingan membaca al-Quran peringkat kebangsaa yang pertama kali diadakan, iaitu pada 20 Ramadhan 1379H bersamaan 18 Mac 1960M.

Kegiatan Haji Abdul Hamid kepada masyarakat banyak tertumpu kepada bidang al-Quran. Selain sebagai qari terkenal memperdengarkan  bacaan al-Quran kepada masyarakat, beliau merupakan guru al-Quran yang memberi bimbingan kepada orang ramai perlbagai peringkat umur. Walaupun ketika usianya meningkat lanjut dan sering mendapat sakit, beliau tetap memberi bimbingan dalam bacaan al-Quran kepada anak-anakmuridnya hingga ke akhir hayat. Beliau telah kembali ke rahmatullah pada jam 8.15 malam 8 april 1986 bersamaan 28 Rejab 1406.

No comments:

Post a Comment