Sunday 29 May 2016

DATO' HAJI ISMAIL BIN HASHIM

LATAR BELAKANG
Dato' Haji Ismail bin Hashim dilahirkan pada 11 Mac 1932 di Jerlun, Kedah. Beliau mempunyai 10 orang anak hasil perkahwinannya dengan Hamishah dan RAmlah, iaitu lapan orang dengan isteri pertamanya dan dua orang dengan isteri keduanya.
PENDIDIKAN
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kedawang, Langkawi sehingga darjah tiga dan meneruskan pelajaran di Sekolah Melayu Air Hitam, Kubang Pasu pada tahun 1942. Pada tahun 1947, beliau melanjutkan pelajaran di Maktab Mahmud, Alor Setar.
KERJAYA
Dalam perkhidmatan kerajaan, Dato' Haji Ismail menjawat jawatan guru agama dan berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Yan dari tahun 1956 hingga 1970. Beliau kemudiannya menjadi guru pelawat (nazir) sekolah agama negeri Kedah sehinggalah bersara pada tahun 1988.
TILAWAH
Nama Dato' Haji Ismail bin Hashim tidak asing lagi dalam bidang tilawah al-Quran, sama ada dalam majlis tilawah al-Quran atau pun sebagai guru al-Quran. Kemerduan dan kelunakan suaranya ketika memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran bukan sahaja dikagumi masyarakat temaptan, malah masyarakat Islam di luar negara.
Selepas pertama kali diadakan pertandingan membaca al-Quran peringkat kebangsaan pada tahun 1960, beliau merupakan satu-satunya qari negara yang menjadi johan sebanyak sembilan kali di peringkat kebangsaan dan lapan kali di peringkat antarabangsa. Beliau sehingga kini merupakan peserta tunggal negara yang telah memperoleh markah tertinggi dalam pertandingan membaca al-Quran. Beliau juga merupakan anak Melayu pertama yang bacaan al-Qurannya telah disiarkan secara langsung di televisyen dan radio Sudan semasa beliau melawat negara tersebut pada tahun 1966 dan kemudiannya di Mesir pada tahun 1976.
ANUGERAH
Sebagai mengenang sumbangan dan baktinya, Dato' Haji Ismail telah dianugerankan pingat Johan Setia Mahkota (JSM) dan Ahli Mangku Negara (AMN) oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, serta pingat setia Diraja KEdah (SDK), Perkhidmatan Setia Kedah (PCK), Dato' Setia Diraja Kedah (DSDK) dan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) oleh Sultan Kedah dan Raja Perlis.
Beliau telah kembali ke rahmatullah pada 7 Ogos 1996 kerana menghidap sakit jantung ketika berusia 64 tahun.

No comments:

Post a Comment